Sebanyak 703 projek kecil di Sabah diluluskan dengan peruntukan RM29.48 juta pada tahun 2020

Oleh:Marutin Ansiung

KENINGAU – Kerajaan Persekutuan melalui Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU, JPM) telah meluluskan 703 projek kecil di Sabah dengan peruntukan sebanyak RM29.48 juta pada tahun 2020. 

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Arthur Joseph Kurup (gambar) berkata,daripada jumlah tersebut, 657 projek telah siap sepenuhnya dengan jumlah pembayaran sebanyak RM22.25 juta telah dilaksanakan. Peruntukan tersebut diuruskan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) yang dilantik sebagai agensi pelaksana.

“Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa projek dalam peringkat pelaksanaan dan berlakunya sedikit kelewatan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)” katanya.

Tambahnya, peruntukan tersebut dapat membantu kontraktor-kontraktor kecil khususnya bagi kelas E dan F di luar bandar untuk mengurangkan beban kewangan yang dihadapi usahawan kontraktor. Langkah ini adalah selaras dengan dasar kerajaan untuk merancakkan kegiatan ekonomi”. 

“Antara projek-projek kecil yang dilaksanakan ialah baik pulih jalan kampung, naik taraf jalan kebun, naik taraf jalan kebun, pembinaan jambatan gantung, sistem bekalan air kampung, pembaikan jeti dan penyelenggaraan sistem perparitan”. 

“Ini juga menunjukkan usaha serta keprihatinan Kerajaan Persekutuan dalam menangani masalah kerosakan dan kekurangan infrastruktur di Sabah khususnya bagi kawasan luar bandar” jelasnya.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, Kerajaan terus komited untuk mengatasi masalah kerosakan dan pembaikan infrastruktur walaupun dalam keadaan pandemik serta mengalami keadaan ekonomi yang mencabar dan sumber kewangan yang agak terhad.

Katanya lagi, langkah seperti ini bertujuan bagi membantu merancakkan lagi ekonomi setempat sehingga ke peringkat akar umbi serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. 

Ini katanya, merupakan antara usaha untuk membaik pulih ekonomi negara sejak pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak Mac 2020 yang telah memberi impak kepada seluruh lapisan masyarakat sehingga hari ini.

Author: dborneo